Jumaat, 15 Mac 2013

KONSEP PENGURUSAN BILIK DARJAH



Ramai pendidik mengaitkan pengurusan bilik darjah dengan kaedah- kaedah untuk menangani masalah disiplin di dalam bilik darjah. Ia juga sering dilihat sebagai sesuatu yang guru perlu lakukan sebelum pengajaran sebenar bermula.

          Aktiviti seterusnya dalam pengajaran dan pembelajaran ditafsirkan sebagai suatu aspek yang berasingan. Ia seolah- olah guru perlu melaksanakan pengurusan bilik darjah terlebih dahulu dan selepas itu barulah memulakan pengajaran. Tetapi kini pandangan seperti ini sudah mula berubah dengan adanya kajian yang menunjukkan bahawa pengurusan bilik darjah dan pengajaran bukanlah dua aspek berasingan tetapi saling berkait rapat. Kajian juga menunjukkan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkesan menyumbang kepada pencapaian akademik yang lebih tinggi. Hal ini sememangnya jelas kerana murid tidak boleh belajar dalam keadaan yang tidak teratur. Pengurusan bilik darjah juga merupakan faktor penting dalam mempengaruhi motivasi, tahap penglibatan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta tingkah laku dan sikap murid di dalam bilik darjah. Menurut Richard (1990),  pengurusan bilik darjah merupakan organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Menurut Alberto & Troutman (1986), pengurusan bilik darjah boleh didefinasikan sebagai kemahiran guru mengurus masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam meyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran.

          Pengurusan bilik darjah perlu dilihat sebagai bidang yang lebih luas daripada hanya kawalan bilik darjah dan peraturan. Hal ini termasuklah semua perkara yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk menggalakkan penglibatan dan kerjasama dalam aktiviti bilik darjah serta membentuk persekitaran yang produktif (Sanford J., Emmer E. & Clemments B.) Pengurusan bilik darjah adalah satu proses yang akan memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. 2009. Siri Pendidikan Guru: Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Oxford Fajar Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan