
Ramai pendidik mengaitkan pengurusan
bilik darjah dengan kaedah- kaedah untuk menangani masalah disiplin di dalam
bilik darjah. Ia juga sering dilihat sebagai sesuatu yang guru perlu lakukan
sebelum pengajaran sebenar bermula.
Aktiviti seterusnya dalam pengajaran dan pembelajaran
ditafsirkan sebagai suatu aspek yang berasingan. Ia seolah- olah guru perlu
melaksanakan pengurusan bilik darjah terlebih dahulu dan selepas itu barulah
memulakan pengajaran. Tetapi kini pandangan seperti ini sudah mula berubah
dengan adanya kajian yang menunjukkan bahawa pengurusan bilik darjah dan
pengajaran bukanlah dua aspek berasingan tetapi saling berkait rapat. Kajian
juga menunjukkan bahawa pengurusan bilik darjah yang berkesan menyumbang kepada
pencapaian akademik yang lebih tinggi. Hal ini sememangnya jelas kerana murid
tidak boleh belajar dalam keadaan yang tidak teratur. Pengurusan bilik darjah
juga merupakan faktor penting dalam mempengaruhi motivasi, tahap penglibatan
murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta tingkah laku dan sikap
murid di dalam bilik darjah. Menurut Richard (1990), pengurusan bilik darjah merupakan organisasi
dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa
pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Menurut
Alberto & Troutman (1986), pengurusan bilik darjah boleh didefinasikan
sebagai kemahiran guru mengurus masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan
tingkah laku murid dalam meyediakan suatu iklim yang sesuai untuk pembelajaran.
Pengurusan bilik darjah perlu dilihat sebagai bidang yang lebih luas daripada
hanya kawalan bilik darjah dan peraturan. Hal ini termasuklah semua perkara
yang perlu dilakukan oleh seorang guru untuk menggalakkan penglibatan dan
kerjasama dalam aktiviti bilik darjah serta membentuk persekitaran yang
produktif (Sanford J., Emmer E. & Clemments B.) Pengurusan bilik darjah
adalah satu proses yang akan memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran.
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel.
2009. Siri Pendidikan Guru: Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Oxford
Fajar Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.